Thursday, March 29, 2012

Travelog USA 56: Merisik dan Meminang

Foto Hiasan Pertunangan Melayu
Hubungan dengan ukhti A sudah agak goyah dan kami menghadapi krisis keyakinan antara satu sama lain. Aku dapat rasakannya. Berita gembira bahawa berdasarkan risikan dari keluargaku, mereka memberi 'lampu hijau' terhadap keluarga Ukhti A sebagai sebuah keluarga dari keturunan orang yang baik dan mulia.  Untuk memulihkan keyakinan dan mengukuhkan hubungan serta merubah hubungan biasa menjadi hubungan yang lebih jitu ke arah perkahwinan, aku memutuskan agar keluargaku masuk meminang saja. Ia berlaku sekitar Oktober. Aku berharap ia akan memulihkan  keyakinan ukhti A dan keluarganya kepadaku. Untuk menyediakan hantaran dan cincin, aku mengirim sejumlah wang (USD$) kepada kakakku dan menyerahkan kepada kebijaksanaan beliau untuk menguruskannya.
Majlis pertunangan akhirnya terlaksana dengan jayanya. Ibuku sendiri yang agak uzur mengepalai rombonganku dengan dengan tiga buah kereta dari kampungku di Peringat dan dua buah kereta dari rumah kakakku di Pendik. jadi lima buah semuanya. Ikhwan Kelantan (bahagian akhowat Muslimat) juga datang menemani ukhti A untuk sokongan moral. mengikut ceritanya, rombonganku membawa tujuh dulang hantaran dengan sebentuk cincin. Ada juga pantun seloka pembuka bicara. Wakil jurucakap dari keluargaku ialah abang iparku Wan H. Ayahandaku juga datang, tapi dia tidaklah memainkan peranan penting kerana sudah agak lama berpisah dengan ibuku. Majlis itu agak besar juga memandangkan ramai juga kaum kerabat ukhti A yang hadir hinggakan banglo dua tingkat berwarna kuning itu tidak muat dan melimpah hingga ke dapur dan ke luar rumah. Pertama kali berlaku, tunangan, seorang berada di USA dan seorang lagi di Malaysia.
Majlis memutuskan majlis walimatul Urus akan diadakan sempena cuti Krismas hujung tahun itu, di mana mereka mahukan tuan Hassan mesti pulang ke Malaysia. Keluarga ukhti A membeli laluan mudah dan mereka tidak menetapkan mahar dan terpulanglah kepada pihak lelaki asalkan menasabah. Bagi mereka kepulanganku sudah dianggap sebahagian dari mahar.
Aku membuat panggilan telefon kepada ukhti A sempena majlis pertunangan kami dan juga menelefon keluargaku. Syukur sangat kerana majlis tersebut berjalan lancar dan akhirnya sudah resmilah, kami sudah bertunang. Namun perjalanan kami masih berliku, aku sudah kehabisan wang simpanan, sebahagian besar untuk kos renovation rumah ibuku dan juga membiayai kos pertunangan, dan majlis perkahwinan akan berlangsung tiga bulan lagi. Wadus!!

No comments: